Organisasi Jabatan Perhutanan bermula dengan penubuhan sebuah Jabatan Hutan di bawah Pejabat Hutan di bawah Pejabat Tanah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan juga Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Seterusnya selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 01 Februari 1948, maka organisasi Jabatan menjadi lebih tersusun dengan dua (2) peringkat pentadbiran iaitu Ibu Pejabat Perhutanan di peringkat Persekutuan dan Jabatan Perhutanan Negeri di peringkat Negeri.

Sejurus selepas penubuhan Jabatan Hutan pada tahun 1901, setiap Negeri Melayu Bersekutu ditempatkan seorang Timbalan Pemelihara Hutan dan lanjutan dari itu Jabatan Perhutanan mula berkembang melalui penubuhan beberapa buah Jabatan Perhutanan Negeri. Pada tahun 1926 perkhidmatan perhutanan telah bertukar corak kepada Perkhidmatan Perhutanan Malaya dimana ianya telah meliputi Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Melalui pengistiharan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 01 Februari 1948, pentadbiran Jabatan Perhutanan terus mengalami perubahan dimana berlaku penyerahan kuasa pentadbiran dari Ketua-ketua Jabatan Perhutanan kepada Ketua Negeri-Negeri berkenaan.

Disamping berperanan mengawal keadaan hutan simpan dan mengutip hasil hutan, Jabatan Perhutanan telah menjadi agensi yang semakin penting dan berkembang maju. Sektor perhutanan terus menyumbang kepada kemajuan dan berkembang sosioekonomi negara. Sepanjang 100 tahun penubuhannya, telah berlaku banyak perubahan-perubahan, pengenalan sistem pengurusan hutan, pentadbiran perundangan dan dasar perhutanan serta sebagainya telah mencerminkan senario perkembangan sektor perhutanan di negara ini. Perkembangan tersebut adalah seiring dengan kepesatan dan kemajuan yang dicapai oleh negara. Disampng itu, peranan perkhidmatan perhutanan untuk memberi kesejahteraan hidup rakyat telah banyak mempengaruhi dasar-dasar dan strategi pembangunan negara khususnya selepas negara mencapai kemerdekaan. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai menerusi sektor perhutanan telah menjana kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Oleh itu sempena ulangtahun ke 100 penubuhan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (1901-2001) segala sejarah perkembangan dan kemajuan perhutanan dapat disingkap kembali. Jesteru itu masyarakat akan sedar bahawa peranan dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia adalah untuk kepentingan negara jua. Selaras dengan sambutan ulang tahun ini tema Warisan Hutan Kekal Berzaman turut digunakan sebagai mengambilkira latar belakang, peranan dan cabaran yang telah dan akan dihadapi oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia selaras dengan wawasan Jabatan untuk diiktiraf sebagai sebuah agensi terunggul dalam pengurusan Hutan Tropika secara berkekalan.