Peranan Dahulu Dan Sekarang

Peranan Jabatan Perhutanan 100 tahun dahulu adalah semata-mata untuk mengusahasilkan kutipan hasil dari pengeluaran kayu balak, menjalankan penguatkuasaan dan penubuhan kawasan-kawasan hutan simpan.

Pada masa sekarang ini peranan itu jauh berbeza kerana selain dari peranan di atas, Jabatan Perhutanan memikul tanggungjawab yang lebih berat dari segi pengurusan hutan, pembangunan dan pemuliharaan hutan serta berkaitan dengan industri kayu kayan. Ini meliputi satu Sistem Pengurusan HUtan yang baik, menjalankan rawatan dan pemulihan hutan, penubuhan kawasan-kawasan riadah di dalam Hutan Simpan Kekal, penubuhan ladang hutan, memperolehi Persijilan Hutan dan ISO 9000, serta memelihara kepelbagian hayat.

Sumbangan sektor perhutanan pula bukan setakat dari segi pungutan hasil hutan tetapi juga dari segi penyediaan kemudahan pasarana kepada masyarakat, sosioekonomi dan pekerja, kestabilan dan kesejahteraan alam sekitar, kuantiti dan kualiti air yang bersih, nilai-nilai estetika dan kepelbagaian hayat.

Selaras dengan itu adalah penting hutan kita terus diurus dan dijaga melalui pengurusan hutan secara berkekalan supaya dapat memainkan peranan dan fungsi yang berterusan kepada masyarakat.