DASAR PERHUTANAN NEGARA

Hutan Lipur

Dasar perhutanan Negara (DPN) telah diluluskan oleh Majlis Perhutanan Negara pada 1977 dan seterusnya disahkan oleh Majlis Tanah Negara pada 1978. Dasar ini kemudiannya diterimapakai di Negeri Kedah dalam tahun yang sama (1978). DPN (1978) ini, telah dikaji semula dan dipinda pada tahun 1992 untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa sektor perhutanan. Ianya bertujuan untuk mencapai objektif memelihara dan mengurus hutan melalui amalan pengurusan hutan secara berkekalan serta untuk melindungi alam sekitar dan memelihara kepelbagaian hayat, sumber-sumber genetik dan meningkatkan penyelidikan dan pendidikan. Kenyataan-kenyataan yang digariskan dalam DPN ialah:-

Mengisytiharkan sebagai Hutan Simpanan Kekal kawasan-kawasan yang mencukupi dan strategik diseluruh negara, berasaskan kepada konsep penggunaan tanah yang rasional. Hutan Simpanan kekal akan diurus dan diklasifikasikan di bawah empat fungsi utama:

HUTAN PERLINDUNGAN untuk memastikan kesesuaian iklim dan keadaan fizikal negara, mengawal sumber air, kesuburan tanah, kualiti alam sekitar, pemeliharaan kepelbagaian hayat, dan megurangkan kerosakan oleh banjir dan hakisan kepada sungai dan tanah pertanian.

HUTAN BERHASIL untuk bekalan yang berterusan, pengeluaran semua hasil hutan pada kadar yang munasabah secara ekonomik di dalam negara dan yang diperlukan untuk pertanian, penggunaan tempatan, perindustrian dan eksport.

HUTAN LIPUR untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, eco-tourism dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan.

HUTAN PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKAN untuk menjalankan penyelidikan, pendidikan dan kepelbagaian hayat.

Balik ke Maklumat Asas Perhutanan