Pasukan Rhizophora - Kumpulan Meningkat Mutu Kerja Jabatan Perhutanan Negeri Kedah

Kumpulan Rhizophora

Pasukan KMK Jabatan Perhutanan Negeri Kedah iaitu Kumpulan Rhizophora mula ditubuhkan pada tahun 1996. Pada usia yang masih setahun jagung, pasukan ini telah mencipta nama sehingga Peringkat Kebangsaan. Pasukan ini mula mengambil bahagian di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan telah muncul sebagai Johan pada tahun 1997 itu. Seterusnya pasukan ini telah dicalonkan untuk mewakili Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ke peringkat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Namun begitu, dengan pengalaman yang sedikit, pasukan ini telah kecundang kepada pasukan yang lebih mantap dan lebih baik. Kekalahan ini telah dijadikan sebagai dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih lagi dan pasukan Rhizophora ini telah mencuba sekali lagi tetapi di dalam kategori Pertandingan KMK Peringkat Negeri Kedah Darul Aman. Dengan semangat yang cekal didorong dengan sokongan padu dari peringkat Jabatan, pasukan ini telah mendapat Johan KMK Peringkat Negeri dalam kategori "Teknikal".

Ekoran dari kejayaan ini, seterusnya pasukan ini telah dicalonkan oleh Kerajaan Negeri untuk bertanding di peringkat Kebangsaan. Berbekalkan semangat yang jitu dan harapan yang tinggi dari Kerajaan Negeri serta Jabatan, pasukan ini telah berjaya mengorak langkah setapak lagi ke arah kejayaan. Meskipun pasukan ini, tidak mendapat tempat pertama, tetapi pencapaian tempat ketiga dan menerima Anugerah Mampu di peringkat Kebangsaan adalah sesuatu di luar dugaan dan ianya amat membanggakan. Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terlibat secara langsung dan juga mereka yang telah memberi sumbangan dalam kejayaan pasukan ini yang telah dipimpin oleh En. Abdul Yazib b. Hamat selaku fasilitator kumpulan ini

Biodata Kumpulan Ini :

1. Nama Kumpulan : Rhizophora

2. Tahun Ditubuhkan : Jun 1996

3. Nama Projek : Mengatasi Masalah Biji Benih Pokok Bakau Dari Dimakan Oleh Ketam (Uca rossia)

4. Keterangan Projek: Kumpulan ini telah menjalankan projek ini dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap masalah biji benih pokok bakau dimakan oleh ketam. Berbagai kaedah telah dicuba selama 8 bulan dan kaedah penggunaan Paip ‘PVC’ melindungi biji benih tersebut telah memperi keputusan terbaik di mana telah memberi peratus kehidupan yang tinggi bagi biji benih bakau yang baru ditanam dan dapat menghalang ketam dari memakan biji benih tersebut dari peringkat awal.

5. Pertandingan KMK yang disertai :

a. 1997 - Johan Pertandingan KMK Peringkat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah

b. 1997 - Peringkat Akhir Pertandingan KMK Peringkat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

c. 1998 - Johan Pertandingan KMK Peringkat Jabatan-Jabatan Di Negeri Kedah Darul Aman

d. 1998 - Tempat Ketiga dan Anugerah Mampu Pertandingan KMK Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan di Seremban, Negeri Sembilan.

Balik ke Kejayaan / Prestasi Jabatan