PRAKATA

Hutan Belantara Negeri Kedah

Assalamualaikum,

Terima kasih! Terima kasih!

Terima kasih, kerana mengunjungi laman web Perhutanan Negeri Kedah.

Laman baru berwajah baru. Beritahu kawan-kawan tentang laman baru ini. Hebahkan ramai-ramai khususnya kepada pencinta sumber asli kita ini. Ajak mereka sama meneroka dan menghayati keindahan semula jadi hutan belantara Negeri Kedah. Kalau anda dapati sebarang kekurangan... kami mohon maaf dulu, maklum sajalah baru belajar. Tapi kami menjanjikan yang terbaik dan kepuasan anda. Berikan komen, ulasan, cadangan atau apa sahaja untuk kebaikan kami. Kami sedia memperbaiki dan mempertingkatkan laman web kami.

Usaha penubuhan laman web Perhutanan Negeri Kedah adalah sebagai usaha melangkah bersama ke hadapan dalam membudayakan teknologi Maklumat di negeri ini. Usaha gigih kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam bidang teknologi maklumat (IT) di rantau ini melalui pembangunan Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) dan pelaksanaan Agenda IT Kebangsaan harus diberi sokongan dan setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan ke arah itu. Dengan itu sebagai menyahut seruan, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ingin membuat persediaan awal dengan mendedahkan dan memperlengkapkan kakitangan supaya prihatin kepada perkembangan teknologi maklumat yang terkini.

Laman ini dihasilkan atas inisiatif kakitangan sendiri yang bertujuan secara amnya untuk menyediakan maklumat terkini mengenai perhutanan di Negeri Kedah. Ini sesuai dengan peranan Jabatan Perhutanan yang memikul tanggungjawab untuk mentadbir dan menguruskan sumber hutan di Negeri Kedah supaya dapat memberikan manfaat dan faedah yang optimum kepada seluruh rakyatnya dengan secara yang berterusan. Tanggungjawab ini perlu dilaksana secara telus, komited dan bersungguh-sungguh supaya dapat menghasilkan kecemerlangan pengurusan hutan di negeri ini.

Melalui laman ini anda berpeluang melayari bagi memperolehi maklumat mengenai status sumber hutan di Negeri Kedah dan amalan pengurusan terhadap sumber tersebut di samping perancangan dan perlaksanaan program pembangunan hutan termasuk kerja-kerja pemulihan dan rawatan hutan selepas pembalakan. Maklumat mengenai pengusahasilan juga dimasukkan bersama penguatkuasaan dan perundangan yang berkuatkuasa. Selain dari itu ianya menyentuh sedikit mengenai industri berasaskan kayu di negeri ini dan lain-lain perkara yang dimasukkan lagi adalah seperti ladang hutan, pentadbiran daerah-daerah hutan. Apa yang menarik ialah anda di bawa melayari semua kawasan hutan lipur bersama dengan gambar-gambar menunjukkan keindahan flora dan fauna bagi negeri ini. Jika tidak puas sila berkunjung lagi.

Akhir kata, maklumat dalam laman web Perhutanan Kedah ini akan dapat memberikan gambaran kepada masyarakat tentang peranan yang dimainkan oleh Jabatan Perhutanan dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan di negeri ini. Setinggi penghargaan kepada semua kakitangan yang terlibat dalam menjayakan laman web ini semoga ilmu ini berkembang subur di kalangan semua kakitangan. Semoga Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan senantiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan juga dalam mencapai objektif untuk melaksanakan pengurusan hutan secara berkekalan menjelang tahun 2000.

Dah lawat tu, catatlah sesuatu di Buku Tamu untuk kenangan :)