PEMBANGUNAN & PEMULIHARAAN HUTAN

Selaras dengan kehendak Dasar Perhutanan Negara, setiap negeri adalah dikehendaki melaksanakan usaha-usaha pembangunan dan pemulihan hutan melaui amalan silvikultur yang berkesan dan sempurna. Beberapa program telah dirancang dan dijalankan setiap tahun, antaranya ialah:-

Pengurusan Sumber Hutan

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di bawah program ini melibatkan aktiviti penyelenggaraan sempadan luar Hutan Simpanan Kekal, inventori hutan sebelum tebangan, dan penandaan pokok untuk aktiviti pengusahasilan hutan.

Pembangunan Sumber Hutan

Program ini yang melibatkan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan yang telah diusahasil, kawasan hutan miskin dan kawasan lapang yang terbiar disamping meningkatkan status kandungan hutan bukan kayu seperti rotan dan buluh. Antara aktiviti-aktiviti tersebut ialah inventori hutan selepas tebangan, rawatan memotong akar/pepanjat, tanaman mengaya, tanaman bakau, ladang hutan dan tanaman kawasan lapang.

Perhutanan Masyarakat

Program ini adalah merupakan salah satu daripada usaha Jabatan untuk melibatkan orang awam di dalam usaha-usaha pengekalan kawasan berhutan di samping menyediakan tempat-tempat yang sesuai di dalam kawasan hutan untuk tujuan rekreasi dan pembelajaran. Antara aktiviti yang dijalankan ialah hutan perkampungan, perhutanan bandar dan hutan lipur. Di Negeri Kedah terdapat 13 buah kawasan Hutan Lipur yang dimajukan oleh Jabatan Perhutanan. Di antara hutan-hutan lipur yang popular ialah Hutan Lipur Bukit Hijau, Hutan Lipur Bukit Wang , Hutan Lipur Lata Bayu, Hutan Lipur Puncak Janing, Hutan Lipur Pasir Tengkorak (Langkawi) dan Hutan Lipur Sungai Teroi (Gunung Jerai).

Balik ke Pembangunan Hutan